Aktiviti Pemurnian Data Bagi Hasil Kajian Etnik Murut Serudung di Daerah Kalabakan
Buletin Budaya, 29 Jun 2026 (Isnin)
Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) telah melaksanakan aktiviti pemurnian data bagi hasil Kajian Etnik Murut Serudung di Daerah Kalabakan yang dijalankan di bawah Program Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah 2025.
Program pemurnian data ini telah berlangsung selama empat (4) hari, bermula pada 23 hingga 26 Jun 2026. Perjalanan ke lokasi kajian melibatkan laluan lasak (off-road) selama kira-kira 2 jam 30 minit dari Pekan Kalabakan menuju ke perkampungan masyarakat Murut Serudung, iaitu Kg. Serudung Laut dan Kg. Serudung Ulu yang terletak di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia.
Rombongan LKNS yang diketuai oleh Encik Hagin Wilkerson Danny, Bahagian Penyelidikan, bersama beberapa orang pegawai LKNS telah disambut mesra oleh Ketua Kampung Serudung Laut, Encik Ronny bin Akai, setibanya di lokasi kajian.
Pelaksanaan pemurnian data ini bertujuan menyemak, mengesahkan serta memperkukuh dapatan kajian lapangan agar maklumat yang direkodkan adalah tepat, sahih dan komprehensif. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LKNS dalam mendokumentasikan serta memelihara warisan budaya etnik-etnik di Sabah sebagai rujukan untuk generasi masa hadapan.