Program Penilaian Susulan Notasi Muzik Etnik telah dilaksanakan selama empat hari bermula pada 24 hingga 27 Januari 2026. Salah satu justifikasi progam ini adalah mendokumentasikan muzik dalam bentuk notasi bagi memudahkan semua penggiat seni muzik memahami dan mempelajari cara memainkan muzik etnik.
Program ini merupakan anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dengan kerjasama persatuan etnik yang berperanan dalam penyelarasan dan penilaian sepanjang pelaksanaan program. Program ini melibatkan dua etnik utama, iaitu Etnik Turavid di daerah Telupid yang diketuai oleh Encik Albenus Naim selaku Pengerusi Jawatankuasa Etnik Turavid dan Etnik Dusun Gana di daerah Keningau yang diketuai oleh Encik Julius Favianus @ Mohd. Hafiz, Presiden Persatuan Etnik Dusun Gana Sabah.
Sepanjang program berlangsung, sesi perbincangan dan praktikal telah dijalankan bersama pemuzik-pemuzik daripada persatuan yang mahir dalam muzik tradisi. Selain itu, sesi rakaman audio dan visual turut dijalankan bagi melengkapkan notasi muzik yang dihasilkan meliputi teknik permainan alat muzik, struktur melodi serta tempo asal bagi setiap repertoir yang dinilai. Rakaman ini bertujuan sebagai bahan rujukan dan dokumentasi rasmi bagi memastikan pemeliharaan serta kesinambungan warisan muzik etnik dapat dipelihara dan dimanfaatkan untuk tujuan penyelidikan, pendidikan serta pembangunan seni budaya pada masa hadapan.