Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Ke-4 (2026)
Buletin Budaya, 13 April 2026 (Isnin)
KARNIVAL PENDIDIKAN ADAT BUDAYA BORNEO KE-4 (2026)
10 – 13 April 2026
Pusat Latihan Guru SAANS, Kg. Lumawang, Tuaran (HQ/Pengkalan)
Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Ke-4 (2026) telah berlangsung dengan penuh warna-warni dan semangat warisan di Pusat Latihan Guru SAANS, Tuaran. Program berprestij ini menjadi wadah penting dalam memartabatkan serta memelihara khazanah adat dan budaya masyarakat Borneo agar terus subur dalam arus kemodenan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Kassim Bin Haji Razali, mewakili Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor. Kehadiran para pemimpin negeri menyerlahkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong usaha pemeliharaan warisan budaya.
Turut memeriahkan majlis ialah Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Tuaran. Yang Berhormat Datuk Pengiran Abdul Aziz Bin Pengiran Damsah, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah yang mewakili Yang Berhormat Datuk Jafry bin Hj Ariffin Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta YBrs. Tuan Mackey Apison, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
Sebagai simbol penghargaan dan kenangan, penyampaian cenderamata telah disampaikan kepada Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Kassim Bin Haji Razali oleh Yang Berbahagia Murug Vinangun Shalmon Sanangan, Presiden Masyarakat Adat Anak Negeri Sabah-Sunduan Nabalu.
Antara tarikan utama karnival ini ialah lawatan ke Tapak Khazanah Hidup Adat Anak Negeri Sabah, yang menampilkan keunikan kehidupan tradisi, adat resam serta warisan budaya pelbagai etnik di Sabah.Terdapat beberapa pertandingan diadakan semasa Karnival seperti Pertandingan Mega Gong, Pertandingan Tarian Tradisi,Pertandingan Mananong Bahasa Ibunda, Pertandingan Pidato Bahasa Ibunda, Pertandingan Kuntau Tingolig Borneo dan Pertandingan Rumah Tradisi. Pengunjung berpeluang menyelami sendiri nilai-nilai budaya yang menjadi identiti negeri ini.
Karnival ini bukan sekadar program, tetapi sebuah perjalanan mengenali jati diri dan warisan Borneo yang perlu terus dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.