Karnival Pameran Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali Ke-3 Tahun 2025
Buletin Budaya, 15 April 2025 (Selasa).
Karnival Pameran Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali Ke-3 Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 12 dan 13 April 2025 bertempat di Pusat Latihan Guru, Ibu Pejabat Sunduan Nabalu, Kampung Lumawang, Tuaran. Sepanjang karnival ini, tiga pertandingan telah dianjurkan pada 12 April 2025, iaitu Pertandingan Pidato Bahasa Ibunda yang dimenangi oleh Sylvenia Savarinus dari SMK Gunsanad, Keningau dengan penyampaian dalam Bahasa Dusun Bundu Liwan; Pertandingan Mega-Gong dan Tarian Tradisi Borneo yang dimenangi oleh Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Ado Dabaai, Keningau; serta Pertandingan Seni Kuntau Tingolig Borneo yang menyaksikan Eleyano Basinus dari SAANS Batu Punggul dinobatkan sebagai Johan.
Karnival ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah diucapkan kepada Sekolah Adat Anak Negeri Sabah, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BORIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta semua ahli jawatankuasa pelaksana yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan penganjuran karnival ini. Tahniah juga diucapkan kepada para pemenang serta semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan.