Imbasan Kemeriahan Perarakan Etnik Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sabah
Buletin Budaya, 27 April 2026 (Isnin)
Imbasan Kemeriahan Perarakan Etnik Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Majlis Pelancaran Mula (Flag Off) disempurnakan oleh YB Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif , YBhg. Datuk Mansur Hj. Asun, Setiausaha Tetap KBSK, YBhg Datuk Josie Lai, Setiausaha Tetap KePKAS, YBhg Datuk Pengiran Abdul Azis bin Pengiran Damsah, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, YBrs. Tuan Mackey Apison, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Presiden- presiden dan Ahli-ahli Persatuan-persatuan Etnik.
Perarakan Etnik anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah ini mencipta sejarah apabila dianjurkan buat julung kalinya dan seiring dengan visi Tahun Melawat Sabah 2027. Pelepasan perarakan bermula dari Lintasan Deasoka, melalui Jalan Gaya dan berakhir di Sabah International Convention Centre dengan jarak keseluruhan kira-kira 2.3 kilometer.
Penganjuran Perarakan ini menjadi wadah memperkukuh perpaduan serta menonjolkan keunikan dan kepelbagaian warisan budaya masyarakat di negeri Sabah. Perarakan ini bukan sahaja menampilkan keindahan busana tradisi dan persembahan kebudayaan setiap etnik, malah mencerminkan keharmonian serta semangat kebersamaan yang telah sekian lama menjadi tunjang kehidupan masyarakat majmuk di Sabah. Diharapkan penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform penting dalam memelihara, memartabat dan mempromosikan warisan budaya negeri Sabah kepada generasi akan datang serta pelancong dari dalam dan luar negara.