Dusun Subpan merupakan salah satu etnik yang majoritinya mendiami kawasan daerah Lahad Datu. Latar belakang etnik Dusun Subpan tidak jauh berbeza dengan etnik Kadazandusun atau etnik Orang Sungai di Sabah. Keunikan yang terdapat pada etnik Dusun Subpan adalah dari segi adat resam kematian mereka yang mengamalkan pengebumian dalam gua. Adat resam tersebut masih diamalkan oleh mereka sehingga kini menyebabkan etnik ini berbeza dengan etnik. etnik lain di negeri Sabah. Menerusi Kajian Inventori Budaya Etnik terdapat 15 aspek kajian budaya etnik Dusun Subpan iaitu Latar Belakang Etnik, Tempat dan Sejarah, Kegiatan Sosioekonomi, Sastera Lisan Turun Temurun, Adat Resam Turun Temurun dan Pantang Larang, Kepercayaan dan Amalan, Alat Muzik dan Tarian Tradisional, Pakaian Tradisional dan Aksesori, Adat Istiadat Perkahwinan, Seni Bina dan Kraf Tangan, Makanan Tradisional, Sukan Rakyat dan Permainan Tradisional, Perayaan-Perayaan Dalam Komuniti, Perubatan Tradisional dan Amalan Tradisi, Strata Sosial Masyarakat dan Nyanyian Rakyat.