Imbasan Kemeriahan Festival Bambu Sabah Telupid 2026
Buletin Budaya, 25 Mei 2026 (Isnin)
Imbasan Kemeriahan Festival Bambu Sabah Telupid 2026
Festival Bambu Sabah Telupid 2026 telah berlangsung dengan meriah pada 13 hingga 15 Mei 2026 bertempat di Dewan Serbaguna Telupid. Sepanjang tiga hari penganjurannya, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi mempromosikan warisan budaya, kreativiti serta penglibatan komuniti setempat.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan ialah permainan sukan rakyat seperti:
- Pertandingan menyumpit
- Pertandingan gasing
- Pertandingan melastik
- Pertandingan tarik tali.
Turut diadakan:
- Pertandingan MiBangkal (Lumba Rakit),
- Pertandingan Masakan Tradisi
- Pertandingan Membina Sulap Bambu.
Selain itu, pertandingan utama yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk:
- Pertandingan Tunion Do Poring (Battle of Bamboo Music),
- Pertandingan Busana Etnik Kreatif Sabah,
- Pertandingan Bambu Voice Challenge
- Pertandingan Fotografi
Tahniah diucapkan kepada para pemenang dan seluruh peserta pertandingan yang telah memeriahkan Festival Bambu Sabah Telupid 2026. Semoga semangat, bakat dan kreativiti yang dipamerkan terus menjadi inspirasi dalam memartabatkan seni, budaya dan warisan negeri Sabah.
Festival ini turut dimeriahkan dengan bengkel kraftangan, pameran produk ekonomi kreatif, gerai-gerai jualan kraftangan Sabah serta pameran daripada pelbagai agensi kerajaan. Pengunjung juga disajikan dengan Persembahan Tarian Etnik Kreatif oleh Kumpulan Kesenian dan Artis Budaya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, persembahan nyanyian oleh artis-artis tempatan serta aktiviti kuiz interaktif.
Majlis Penutupan Festival Bambu Sabah Telupid 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Jonnybone J. Kurum, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.47 Telupid, bersama isteri mewakili Yang Berhormat Datuk Jafry Ariffin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Turut hadir memeriahkan majlis, Yang Berbahagia Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing, Timbalan Setiausaha Tetap II, KePKAS mewakili Yang Berbahagia Datuk Josie Lai, Setiausaha Tetap KePKAS, Yang Berbahagia Datuk Pengiran Abdul Azis bin Pengiran Damsah, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Yang Berusaha Mackey Apison, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Yang Berusaha Encik Celestine Jetony, Pegawai Daerah Telupid, Ahli-ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, ketua-ketua jabatan dan agensi serta dif-dif jemputan yang lain.
Festival Bambu Sabah Telupid 2026 merupakan penganjuran pertama seumpamanya di daerah Telupid dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat serta para pengunjung. Berikutan kejayaan penganjuran sulung ini, Festival Bambu Sabah Telupid akan dijadikan sebagai acara tahunan daerah Telupid bagi terus mempromosikan keunikan warisan budaya berasaskan bambu, memperkasakan industri kreatif tempatan serta merancakkan sektor pelancongan budaya di negeri Sabah. Mengangkat slogan “Bamboo4Life”, festival ini turut menonjolkan potensi bambu sebagai sumber yang lestari, bernilai ekonomi dan mempunyai peranan penting dalam kehidupan serta pembangunan komuniti.