Kunjungan Hormat LKNS ke atas YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah
Buletin Budaya, 06 Oktober 2026 (Selasa)
Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, pada 5 Oktober 2026 bertempat di Pejabat Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Tuan Mackey Apison, bersama Encik Sony Jaya, Pengurus Bahagian Acara LKNS dan Puan Rozza Rothman.
Pertemuan ini bertujuan untuk memperkenalkan serta menerangkan cadangan pelaksanaan Program Anugerah Muzik Sabah yang dicadangkan bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan. Dalam pertemuan tersebut, turut dikongsikan hala tuju, konsep dan aspirasi program sebagai satu platform bagi meraikan, menghargai serta mengiktiraf karya dan sumbangan para penggiat industri muzik Sabah.
Cadangan penganjuran Anugerah Muzik Sabah ini dilihat berpotensi menjadi wadah penting dalam mengangkat bakat serta karya muzik tempatan, di samping memperkukuh perkembangan industri muzik Sabah dan memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada para penggiat seni yang telah menyumbang kepada kemajuan serta kelestarian industri muzik negeri.
Kunjungan ini turut mencerminkan komitmen Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dalam memperkasa bidang seni dan budaya Sabah melalui penghasilan program yang mampu mengangkat bakat tempatan serta memperluas apresiasi masyarakat terhadap karya dan industri kreatif negeri.