Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali Ke-11 Tahun 2026 Bil. 03/2026
Buletin Budaya, 08 Julai 2026 (Rabu)
Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali Ke-11 Tahun 2026 Bil. 03/2026 telah diadakan pada 08 Julai 2026 (Rabu) bertempat di Dewan Persidangan, Tingkat 1, Majlis Perbandaran Tawau.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Mohd Shoffian Mohd Said, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau. Turut hadir ialah Encik Fazli Ahmad, Ketua Unit Galeri Etnik Cawangan Tawau, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), bersama barisan ahli jawatankuasa yang terlibat dalam pelaksanaan festival.
Antara agenda utama mesyuarat adalah pembentangan laporan kemajuan serta persiapan akhir oleh setiap jawatankuasa kerja berkaitan pelaksanaan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali Ke-11 Tahun 2026. Perbincangan turut memberi penekanan terhadap aspek penyelarasan program, logistik, keselamatan, publisiti, pengurusan protokol serta keperluan teknikal bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur dan berkesan.
Mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara semua jawatankuasa yang terlibat agar segala persiapan dapat diselaraskan dengan sebaiknya demi menjayakan penganjuran festival. Komitmen dan kerjasama daripada semua pihak diyakini mampu memastikan festival ini berlangsung dengan jayanya serta mencapai objektif dalam mempromosikan kepelbagaian seni, budaya dan warisan, di samping mengukuhkan kedudukan Tawau sebagai salah satu destinasi pelancongan dan kebudayaan di negeri Sabah.
Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) Kali Ke-11 Tahun 2026 dijadualkan berlangsung pada 01 Ogos 2026 bertempat di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, dengan pelbagai pengisian menarik yang mengetengahkan keunikan budaya tempatan dan antarabangsa untuk dinikmati oleh masyarakat serta para pengunjung.