Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Penyelidik bagi Geran Penyelidikan Projek Pemetaan Budaya 2026
Buletin Budaya, 04 Februari 2026 (Rabu)
Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Penyelidik bagi Geran Penyelidikan Projek Pemetaan Budaya 2026 telah berlangsung dengan teratur dan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, YBhg. Datin Dr. Cleopatra @ Clare Asing. Mesyuarat ini diadakan sebagai platform perbincangan rasmi untuk meneliti, menilai serta menyaring calon-calon penyelidik yang akan dilantik bagi melaksanakan kajian di bawah projek pemetaan budaya bagi tahun 2026.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Paul Porodong, Perunding Budaya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), yang turut memberikan pandangan pakar berkaitan keperluan metodologi dan kerangka kerja penyelidikan. Hadir sama ialah Muhammad Sufi bin Kaim, Penolong Setiausaha Kanan (Kebudayaan), yang memainkan peranan dalam penyelarasan peraturan dan garis panduan pentadbiran berkaitan proses pemilihan penyelidik.
Mesyuarat ini turut disertai oleh Flora Iban, Timbalan Pengurus Besar Sektor Pembangunan Seni Budaya, yang memberikan input penting berkaitan hala tuju program serta keselarasan dengan strategi pembangunan budaya negeri. Selain itu, sesi ini juga dihadiri oleh pegawai-pegawai LKNS dan wakil-wakil berkaitan yang lain, yang bersama-sama memberikan sokongan dari segi teknikal dan pentadbiran dalam memastikan proses pemilihan berjalan dengan telus, berstruktur dan menepati objektif geran penyelidikan.
Secara keseluruhannya, mesyuarat ini berjaya mencapai kata sepakat berhubung kriteria pemilihan penyelidik dan langkah susulan yang perlu diambil dalam memastikan kelancaran pelaksanaan Projek Pemetaan Budaya 2026.